Timbalan Menteri KPT Gulung Perbahasan KSP RMKe-12 Di Dewan Negara

Timbalan Menteri KPT Gulung Perbahasan KSP RMKe-12 Di Dewan Negara
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Mohammad Yusof Apdal menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Negara petang tadi.

Pada sidang tersebut, beliau mengulas dan menjawab 15 soalan serta usul yang telah dibawa oleh 9 orang Ahli Dewan Negara berkenaan sektor pendidikan tinggi kebangsaan.

Antara topik yang dibahaskan ialah mengenai PTPTN; pemerkasaan pendidikan TVET; pengenalan silibus keselamatan siber di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT); serta isu dan kebajikan Pelajar-Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, KPT turut menimbang usul berkaitan pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di peringkat IPT dan pewujudan badan pengindeksan jurnal dan penerbitan ilmu, khususnya dalam Bahasa Melayu.

Menurut YB Timbalan Menteri juga, KPT turut akan memperhalusi cadangan mengkaji semula subjek-subjek yang diajar di IPTA; memperbanyakkan subjek yang berhubung langsung dengan universiti; serta kebenaran mahasiswa bekerja sambilan dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian supaya mempunyai pengalaman di industri.

Selain itu, turut dibahaskan adalah mengenai bayaran pendaftaran pengajian serta prasarana dan tenaga pengajar di IPTA.

Pada sesi penggulungan tersebut juga, YB Timbalan Menteri turut menghargai keprihatinan serta cadangan daripada beberapa Senator bagi menangani isu kemasukan pelajar cemerlang CGPA 4.0 yang gagal mendapat tempat ke program-program kompetitif di IPTA.

Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia

  • Last updated on .
  • Hits: 1356
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.