UMS Disaran Jadi Komponen Penting Keterjaminan Makanan Negara

UMS Disaran Jadi Komponen Penting Keterjaminan Makanan Negara
English translation not available for this content.

Para penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran untuk meningkatkan keterlihatan mereka dalam bidang pertanian dan akuakultur bagi mengukuhkan kestabilan dan keterjaminan makanan di negara ini.

Malah, hasil kajian tersebut turut disarankan untuk dikongsi bersama masyarakat terutamanya di luar bandar dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan dan ekonomi mereka berasaskan teknologi terkini yang dibangunkan oleh UMS.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Mohamed Khaled Nordin menitipkan amanat demikian kepada barisan pengurusan UMS ketika membuat lawatan kerja rasmi beliau ke sini hari ini.

Kehadiran beliau dan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Rahman Dahlan bersama warga universiti yang lain.

Dalam kunjungan tersebut, beliau telah diberi penerangan mengenai hala tuju dan pencapaian UMS oleh Naib Canselornya, YBhg. Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Mansor sebelum dibawa meninjau reruai pameran produk inovasi hasil kajian dan penemuan penyelidik universiti.

Pada majlis sama, YB Menteri telah turut merasmikan Bangunan Inkubator Akuakultur UMS di Teluk Sepanggar yang bakal menjadi pusat penyelidikan dan pengajaran kehidupan laut terkemuka di Borneo dalam mencapai visi kebangsaan untuk melestarikan industri akuakultur negara.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.

  • Last updated on .
  • Hits: 1939
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 07 May 2024, 17:07:26.