YB Menteri Pendidikan Tinggi Serah Watikah Pelantikan TNC UTHM, UiTM Dan UPM

YB Menteri Pendidikan Tinggi Serah Watikah Pelantikan TNC UTHM, UiTM Dan UPM
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada tiga (3) orang Timbalan Naib Canselor Universiti Awam di pejabatnya semalam.

YBrs. Prof. Dr. Shahruddin bin Mahzan @ Mohd Zin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu. Beliau memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal serta mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran universiti sebagai Dekan Pengajian Siswazah dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan sepanjang perkhidmatan di UTHM.

Seterusnya, YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah pula telah menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu. Beliau telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pensyarah di UiTM sejak tahun 1997 dan merupakan Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM sejak tahun 2019.

YB Menteri Pendidikan Tinggi juga turut menyampaikan surat pelantikan semula kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu YBrs. Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin. Pelantikan semula ini adalah bagi membolehkan beliau meneruskan usaha untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama UPM dengan pihak industri dan seterusnya melebarkan inisiatif untuk merakyatkan universiti.

Kesemua pelantikan ini berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024. Pelantikan ini adalah signifikan dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik, pembudayaan ilmu dan peneguhan tradisi intelektual pendidikan tinggi negara.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT yang sedang menjalankan fungsi sebagai Ketua Setiausaha, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 558
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 02 May 2024, 17:12:18.