English translation not available for this content.
logo kpt black

SIARAN MEDIA

PABM 2023 ANGKAT BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ULUNG


Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 kali ke-15 diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dengan penuh gilang gemilang.

PABM mula diperkenalkan pada tahun 2007 yang mempertandingkan tiga (3) kategori iaitu kategori Alam Melayu, kategori Antarabangsa dan kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM). Kategori Alam Melayu disertai peserta daripada Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand. Kategori Antarabangsa pula disertai oleh negara-negara selain daripada negara bagi kategori Alam Melayu. Manakala kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pula terbuka kepada pelajar universiti di Malaysia selain daripada negara bagi kategori Alam Melayu.

Pusingan awal dan suku akhir diadakan secara dalam talian pada bulan September yang lepas. Seramai tiga (3) orang yang terbaik daripada setiap kategori telah terpilih untuk ke pusingan akhir secara bersemuka yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan sebanyak tujuh (7) buah negara yang terlibat dalam pusingan akhir antaranya ialah Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan danTimor-Leste.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala pusingan dan piala iringan. Naib johan pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000 dan tempat ketiga adalah RM5,000.

Ucap Menteri Pendidikan Tinggi, "kita mahu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang ulung. Bahasa ilmu. Bahasa yang menjadi perantara dalam membicarakan idea-idea besar dan mengujakan".

Tambah beliau lagi, "bukan sahaja dalam sempadan tanah air. Namun, turut jauh menjelajah ke sempadan negara-negara dunia yang lain".

Kementerian mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya dan pegawai yang telah menyumbang tenaga dan masa dalam menjayakan program Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2023. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2023.

Kementerian Pendidikan Tinggi
04 November 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media PABM 2023 Angkat Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ulung.pdf (91 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7637
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 11:06:20.