English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYA


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, 54 tahun, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) bagi tempoh tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 6 November 2023 hingga 5 November 2026.

Pelantikan beliau adalah berdasarkan reputasi kepimpinan yang baik dan pengalaman pentadbiran yang luas di peringkat institusi. Beliau pernah dipinjamkan ke Universiti Malaysia Terengganu sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dari tahun 2017 hingga 2020. Beliau kemudiannya kembali berkhidmat di Universiti Malaya sebagai Pemangku Pendaftar sebelum dipinjamkan sebagai Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 8 Jun 2022 sehingga kini.

YBhg. Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari University of Bradford, United Kingdom. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Biokejuruteraan di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland. Beliau merupakan Felo Akademi Sains Malaysia dan pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) pada tahun 2022 berdasarkan kredibiliti dan ketokohan yang dimiliki.

Kementerian yakin YBhg. Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkemampuan untuk memperkukuhkan peranan UM sebagai institusi keilmuan ulung dalam melahirkan bakat intelektual untuk memenuhi keperluan pembangunan negara. Beliau juga dilihat berkeupayaan untuk meneruskan kesinambungan pencapaian dan kegemilangan UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara dan disegani di persada global.

Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau selama ini sehingga UM berada di kedudukan ke-65 dalam Quacquarelli Symonds World University Ranking (QS-WUR) 2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi
2 November 2023

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media Pelantikan Naib Canselor Universiti Malaya.pdf (107 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7597
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 15:09:51.