English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, 55 tahun, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 2 November 2023 hingga 1 November 2026. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, United Kingdom.

YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin merupakan Profesor Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM pada tahun 2013 sebelum menggalas amanah sebagai Naib Canselor UTeM untuk tempoh lima (5) tahun pada tahun berikutnya. Selain memiliki pengalaman kepimpinan di universiti awam, YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin turut memiliki pengalaman pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka.

Selain itu, beliau juga memiliki reputasi akademik yang sangat dihormati di dalam dan luar negara sekali gus mampu meningkatkan keterlihatan universiti dalam memacu kecemerlangan UiTM khususnya dalam era teknologi pengganggu (disruptive technology) hari ini. Beliau turut dilihat berupaya untuk memperkasa UiTM sebagai wadah pendidikan utama negara dalam melahirkan graduan Bumiputera yang berdaya saing dan kalis masa hadapan.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi
2 November 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.pdf (62 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7182
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 18:21:44.