English translation not available for this content.
logo kpt black

SIARAN MEDIA

TRANSFORMASI POLITEKNIK 2023-2030 SELARI HASRAT KERAJAAN MEMBANGUNKAN MASYARAKAT SEJAHTERA DAN BEKALAN TENAGA KERJA BERKEMAHIRAN TINGGI


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pemboleh daya kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif seperti yang dihasratkan melalui Ekonomi MADANI. TVET perlu responsif kepada evolusi industri dan perkembangan teknologi agar negara mempunyai guna tenaga yang memenuhi keperluan model ekonomi semasa. Peningkatan kompleksiti dalam rantaian nilai ekonomi negara masa hadapan menuntut agar TVET disusun semula bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang holistik, kompeten teknologi dan kalis masa hadapan.

KPT melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil inisiatif untuk menyusun semula sistem Politeknik Malaysia secara bersepadu. Politeknik Malaysia akan ditransformasi menjadi institusi TVET yang menghasilkan graduan kompeten teknologi dan berciri inovatif disamping berpegang teguh kepada nilai-nilai kerohanian dan manusiawi.

Secara umumnya, Transformasi Politeknik 2023-2030 ini menghuraikan aspirasi Politeknik Malaysia untuk menjadi institusi TVET yang berprestij serta menjadi antara penyumbang utama kepada penghasilan modal insan holistik negara yang kalis masa hadapan. Kerangka Transformasi Politeknik 2023-2030 merumuskan langkah ke hadapan yang jelas melalui empat matlamat, tiga inisiatif pembaharuan berstrategik (strategic reform initiatives), 13 agenda pembaharuan kritikal (critical reform agenda) dan 18 objektif strategik yang merencanakan Politeknik Malaysia menuju keunggulan

Menjelang tahun 2030, Politeknik Malaysia dijangka mempunyai enrolmen seramai 140,000 orang pelajar pada satu-satu masa. Dengan kapasiti ini, setiap tahun politeknik mampu menyediakan 35,000 tempat untuk remaja, belia dan pekerja industri menyambung pengajian di pelbagai peringkat dan bidang pengajian. Hasilnya, seramai 24,000 tenaga kerja mahir boleh dikeluarkan saban tahun bermula tahun 2030.

Bagi mendepani cabaran revolusi industri serta anjakan teknologi, pekerja-pekerja industri perlu diberi latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula (reskilling) secara berkala. Akhirnya, sumbangan penting transformasi ini kepada negara dijangka dapat dilihat melangkaui tahun 2030.

Kementerian Pendidikan Tinggi
04 Disember 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030.pdf (50 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7886
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 18:21:44.