English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

MALAM GALA PERUNDINGAN UKM PAKARUNDING 2024

6 MEI 2024 (ISNIN)


Terima kasih kepada saudara Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera

Salam Perpaduan

Salam Malaysia MADANI.

(RUJUK SALUTASI)

1. Alhamdulillah, marilah kita zahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas kesempatan dan ruang untuk kita semua dapat bertemu di sini.

2. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan dan penghormatan yang diberikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, khususnya pihak UKM Pakarunding untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya meraikan bersama Majlis Malam Gala Perundingan UKM Pakarunding 2024 pada malam ini.

Hadirin dan para perunding yang saya raikan sekalian,

3. Sebagai negara yang menuju ke arah transformasi ekonomi dan pembangunan berasaskan pengetahuan, bidang penyelidikan memainkan peranan yang amat penting dalam memacu kemajuan dan kecemerlangan negara. Dalam konteks pendidikan tinggi, penyelidikan bukan sekadar aktiviti tambahan, tetapi ia merupakan teras yang mendorong inovasi, kemajuan teknologi dan penyelesaian kepada cabaran-cabaran kompleks yang dihadapi oleh masyarakat.

4. Kepentingan penyelidikan ini tidak hanya terletak kepada sumbangan kepada bidang sains dan teknologi, tetapi juga dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. Melalui penyelidikan, kita dapat memahami aspek- aspek kompleks dalam masyarakat, merumuskan dasar-dasar berkesan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan menggunakan kepakaran-kepakaran yang ada pada pensyarah atau perunding yang berada di hadapan kita.

5. Namun begitu, suka untuk saya nyatakan bahawa di samping kita mengkagumi kepakaran yang ada dalam negara kita, adalah wajar untuk kita, sebagai para ilmuwan turut mengambil perhatian akan perkembangan teknologi yang berlaku di luar negara. Kebelakangan ini, negara-negara maju telah mula menggiatkan penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang tidak disangkal lagi akan merevolusikan industri moden yang dijangka akan berlaku dalam masa yang terdekat. Pengenalan teknologi AI akan mengubah corak pemasaran antaranya dalam bidang perundingan yang seharusnya diambil perhatian.

Hadirin dan para perunding yang saya raikan sekalian,

6. Teknologi hijau juga telah menjadi agenda utama dalam dialog antarabangsa dewasa ini. Pelbagai negara termasuklah negara kita telah mula mengorak langkah bagi menerapkan penggunaan teknologi ini dalam pelbagai sektor terutamanya industri. Bagi menggalakkan budaya ini, kerajaan telah menawarkan pelbagai insentif dan polisi telah diperkenalkan seperti penerapan ESG. Justeru, saya menyeru agar para hadirin cakna akan teknologi-teknologi baharu ini dalam memastikan kita tidak ketinggalan dalam perlumbaan untuk meneroka cabang-cabang baharu yang sudah pastinya akan memberi perubahan drastik kepada sektor perindustrian negara kita.

7. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memberi sokongan yang berterusan kepada penyelidikan di peringkat pendidikan tinggi. Ini termasuklah memastikan sumber-sumber yang mencukupi disalurkan kepada penyelidik, mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif, serta memupuk budaya inovasi dan kecemerlangan dalam kalangan komuniti akademik.

8. Selain itu, kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat juga perlu diperkukuhkan. Melalui kemitraan yang kukuh seperti pelaksanaan penyelidikan jangka panjang yang melibatkan konsortium penyelidik dari pelbagai disiplin seperti yang dicadangkan Naib Canselor sebentar tadi sudah tentu akan mendatangkan impak pada skala yang besar kepada negara.

9. Justeru, saya berharap agar perunding- perunding dari UKM Pakarunding ini dapat mengekalkan momentum seterusnya mengungguli lagi kepakaran-kepakaran sedia ada dan akan datang. Marilah kita bersama- sama terus menjadikan UKM Pakarunding ini sebagai Syarikat Perundingan Universiti Awam terbaik di Malaysia sehingga ke persada antarabangsa dan terus mendokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Hadirin dan para perunding yang saya raikan sekalian,

10. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak termasuk warga UKM Pakarunding, para pensyarah dan perunding yang sentiasa berusaha meletakkan UKM Pakarunding seiring dengan syarikat perundingan antarabangsa yang lain.

11. Saya akhiri ucapakan saya dengan serangkap pantun:
Jemur Padi Bersama Rakan,
Terlihat Ayam Disambar Helang,
Tahniah Dan Syabas Saya Ucapkan,
Semoga UKMP Terus Gemilang.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf TEKS UCAPAN YBTM-MALAM GALA PERUNDINGAN UKM PAKARUNDING 2024 (83 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 214
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 17 May 2024, 15:30:11.