English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

PAMERAN
DEFENCE, SECURITY AND SUSTAINABILITY EXHIBITION 2024
(DSS 2024)

25 April 2024 (Khamis)

Dewan Zulfaqar
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.

Salam Perpaduan

Salam Malaysia MADANI

(RUJUK SALUTASI)

1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita rafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, atas kurniaan ruang dan peluang untuk kita sama-sama berkumpul pada hari ini, dalam PAMERAN DEFENCE SECURITY AND SUSTAINABILITY (DSS) 2024.

2. Bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), saya mengucapkan tahniah kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di atas penganjuran DSS 2024.

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Dengan tema “Human-Centered Discovery and Innovation” DSS 2024 akan menunjukkan pelbagai teknologi, ciptaan dan inovasi di luar jangkaan untuk manfaat manusia di peringkat tempatan dan global terutamanya dalam aspek keselamatan dan pertahanan.

4. Selaras dengan penubuhan dan kewujudan UPNM dan juga institusi-institusi lain yang berkaitan yang berfokuskan untuk menjana kepintaran, kepimpinan dan pendidikan pertahanan, faktor penghasilan inovasi beteraskan pertahanan juga sentiasa perlu dititik berat bagi mempersiapkan generasi masa hadapan untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

5. Pihak KPT, sentiasa bersedia berganding bahu dengan institusi serta pemain industri pertahanan tempatan terutamanya dalam menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan serta latihan dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar. Selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025, KPT telah menetapkan Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi sebagai salah satu fokus utama yang perlu ditekankan untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Program seperti DSS 2024 ini juga dilihat sebagai salah satu platform keilmuan yang bertujuan untuk meraikan cetusan idea baharu sejajar dengan perkembangan pendidikan tinggi di era industri 4.0 melalui penglibatan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, rakan industri dan masyarakat.

7. Pada dasarnya, program sebegini amat penting untuk mencapai beberapa tujuan utama iaitu:
a. Platform bagi membolehkan perkongsian dan penjanaan idea baharu daripada pelbagai pihak.
b. Membolehkan kolaborasi antara kerajaan, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat.
c. Menyediakan platform kepada pelajar dan masyarakat untuk memikirkan solusi kepada masalah yang melibatkan perkongsian kepakaran dari IPT.
d. Mewujudkan peluang yang mampu menggerakkan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi dengan aspirasi melonjak Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Akhir Kalam, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan jawatankuasa penganjur, kerana telah meluangkan masa dan tenaga anda ke arah pameran ini dan menjayakan majlis ini. Usaha kerjasama ini, amat dipuji dan harus diteruskan pada masa hadapan. Saya doakan yang terbaik dan selamat berjaya.

9. Diharapkan semua pihak dapat mengambil kesempatan untuk memanfaatkan program-program sebegini. Ia merupakan medium yang strategik supaya idea anda didengari dan diperlihatkan kepada pihak-pihak berkepentingan. Semoga melalui program sebegini dapat memupuk pemahaman yang lebih baik mengenai peranan penting yang dimainkan oleh inovasi dalam membentuk trajektori negara dan menawarkan pandangan berharga untuk meningkatkan kualiti hidup dan daya saing global.

10. Dengan lafaz BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM, DENGAN PENUH RASA SYUKUR, SAYA MERASMIKAN PAMERAN DEFENCE SECURITY AND SUSTAINABILITY (DSS) 2024. Semoga objektif pameran ini dapat direalisasikan.

Sekian
Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum W.B.T

Terima Kasih!

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM- Pameran Defence, Security and Sustainability Exhibition 2024 (DSS 2024) (145 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 342
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.