TVET Digital Mendukung Agenda Ekonomi MADANI KPT

TVET Digital Mendukung Agenda Ekonomi MADANI KPT

Seramai 904 orang graduan daripada 11 buah Kolej Komuniti (KK) Zon Selangor diraikan dalam Sesi Sidang 5, Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti. Majlis penyampaian skrol telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Seri KSU berkata KPT sentiasa mendukung usaha KK untuk menjadi institusi TVET terunggul di Malaysia. Dalam usaha melaksanakan pendekatan pembelajaran yang aktif dan kolaboratif, pendigitalan merupakan satu daripada agenda yang akan diberi tumpuan utama.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KPT telah memperkenalkan inisiatif TVET Digital dalam memantapkan pendigitalan dan ketersediaan warga dan institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

“TVET Digital mendukung pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dalam memantapkan tatakelola dan ketangkasan penyampaian bagi memperkasa rakyat di bawah Ekonomi MADANI”.

Tambah beliau, “TVET Digital diharap dapat mempersiap dan memperkasakan graduan Politeknik dan KK sebagai graduan berkualiti dengan menzahirkan produk dan perkhidmatan yang mampu mendepani teknologi baharu serta bercirikan 'future proof talent' iaitu 'high skill' (berkemahiran tinggi), 'high tech' (berteknologi tinggi) dan 'high art' (berseni tinggi).”

Dengan menguasai kemahiran-kemahiran ini, para graduan bukan sahaja menjadi pilihan utama para industri malahan akan membolehkan permintaan gaji yang premium bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Di akhir ucapannya, beliau menyarankan agar para graduan mempertingkatkan kemahiran 'soft skills' di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, 'design thinking' dan semangat berpasukan. Beliau turut menitipkan pesanan kepada para graduan agar mencari peluang baharu bagi memperluaskan pengalaman dan pengetahuan sama ada dalam dan luar negara.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian JPPKK, YBrs. Tuan Haji Hassan Mohd Sharif; Pengerusi Majlis Konvokesyen KK Zon Selangor, YBrs. Encik Rosidi Yub; Pengarah-pengarah KK Zon Selangor, para graduan dan ibu bapa.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1514
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.