Uni Parcel Station (UNIPS) Inovasi Mahasiswa UKM Dinobat Juara NMEPC22'

Uni Parcel Station (UNIPS) Inovasi Mahasiswa UKM Dinobat Juara NMEPC22'

Idea perniagaan mahasiwa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Uni Parcel Station (UNIPS) untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan pos kepada para pelajar di kampus bagi memudahkan urusan penghantaran dan penerimaan pakej telah dinobat sebagai juara keseluruhan pertandingan National Micro Enterprise Piching Competition 2022 (NMEPC22') sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM 7,000.

UNIPS turut memenangi tempat pertama bagi Kategori Perkhidmatan dengan wang tunai RM 3,,000 dan Produk Terbaik dengan wang tunai RM 1,000.

Fasa akhir NMEPC22' yang dianjurkan oleh KPT bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula 12-14 Mei ini telah berjaya mengumpulkan 46 buah pasukan daripada 21 buah IPTA yang telah melalui fasa saringan awal sebelum ke fasa ke-2 iaitu dibimbing oleh para mentor industri melalui beberapa siri bootcamp bagi memperkemaskan konsep perniagaan yang ingin dipertandingkan mengikut kategori masing-masing.

Kategori tersebut adalah Industri Seni dan Kreatif; Makanan dan Minuman; Teknologi dan Inovasi; serta Perkhidmatan, dengan lima (5) lagi kategori diperkenalkan iaitu Showcase Terbaik; Pembentangan Terbaik; Kerjasama Kumpulan Terbaik; Produk Terbaik; dan Perkhidmatan Terbaik.

Selain UKM, Anugerah Keseluruhan NMEPC22' telah turut dimenangi oleh produk D'Kacang ciptaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di tempat ke-2 dengan wang tunai RM5,000, manakala produk UniScent ciptaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pula di tempat ke-3 dengan wang tunai RM 3,000.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, YBrs. Puan Fazidah Mustafa yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Sabri Mohamad Sharif.

Penganjuran NMEPC22' ini turut mendedahkan para mahasiswa kepada konsep inovasi dalam perniagaan berdasarkan keperluan pasaran, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang keusahawanan yang mampu menjana ekonomi negara melalui aktiviti penghasilan dan penciptaan kerja.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2161
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.