UniSZA Perkasa Komuniti Guna Ilmu Naqli Dan Aqli

UniSZA Perkasa Komuniti Guna Ilmu Naqli Dan Aqli

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempunyai kepakaran dalam ilmu naqli dan aqli yang apabila disepadukan mampu menyumbang kepada kekuatan kerohanian dan pemikiran masyarakat berdasarkan acuan Malaysia Madani.

Bertujahkan peradaban Islam, sains kesihatan dan pertanian lestari, UniSZA bukan sahaja berperanan menjadi pusat menuntut ilmu, malah turut menjadi pemangkin yang mampu merubah sosioekonomi sesebuah masyarakat melalui jalinan kerjasama, penyelidikan dan pemindahan ilmu.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pengoperasian Klinik Pakar Hospital Pengajar UniSZA sempena lawatan kerja rasmi beliau ke universiti itu hari ini.

Hospital tersebut menjadi bukti kepada kesepaduan kearifan ilmu Islam dan sains yang dimiliki UniSZA di mana masyarakat sekitar boleh mendapatkan rawatan kesihatan, manakala universiti dapat pula memanfaatkan peluang itu untuk meningkatkan tujahan mereka.

Menurut YB Menteri, peranan UniSZA dalam bidang pertanian lestari dengan membangunkan program Taman Tanah Rimba Bris di sini serta Ladang Komuniti di beberapa lokasi lain patut diberi pujian kerana bukan sahaja mampu mengupayakan masyarakat dengan ilmu dan kemahiran baharu malah turut mendatangkan laba.

Tambah beliau, penubuhan inkubator usahawan untuk mahasiswa UniSZA melibatkan diri dalam perniagaan turut seiring dengan usaha kementeriannya dalam menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu daripada solusi terbaik menangani kebolehpasaran graduan.

Selain itu, beliau turut menyarankan supaya potensi Pusat Pendigitalan Manuskrip UniSZA dimantapkan lagi agar boleh menjadi rujukan manuskrip Melayu dan Nusantara terlengkap dan terbaik bagi para ilmuwan serantau.

Justeru, UniSZA juga diminta menerapkan semangat keserakanan dalam menjalankan penyelidikan sama ada bersama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan atau antarabangsa agar hasil yang ditemui nanti tercapai secara optimum.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1641
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.