USIM Rintis Teknologi Robotik Dan STEM Manfaatkan Golongan OKU

USIM Rintis Teknologi Robotik Dan STEM Manfaatkan Golongan OKU

Dalam usaha menginspirasi serta mempromosikan pendidikan inklusif dan memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Eureka Robotics Centre Cardiff Metropolitan University (CMU), United Kingdom (UK).

Melalui MoA ini, USIM-CMU akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan teknologi robotik dan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam usaha meningkatkan peluang pembelajaran dan akses setara khususnya untuk golongan rentan terutamanya OKU di negara ini.

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar yang sedang dalam rangka lawatan kerjanya ke Eropah telah hadir menyaksikan majlis menandatangani MoA antara USIM yang diwakili oleh Naib Canselornya, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dengan CMU yang diwakili oleh Presiden merangkap Naib Canselornya, Prof. Cara Aitchison.

Menurut YBhg. Dato' Seri KSU, perjanjian ini bukan sahaja membuktikan komitmen universiti awam di Malaysia untuk berinovasi malah turut memenuhi aspirasi YB Menteri Pendidikan Tinggi yang telah melaungkan usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pendidikan tinggi serta hab pembangunan bakat terbaik di pentas global.

Pada masa yang sama, ilmu baharu yang bakal dirintis USIM ini bakal memacu bidang tujahan mereka dalam sains Islam dan teknologi perubatan ke tahap yang dibanggakan, malah turut akan membantu golongan OKU di Malaysia dalam menjalani kehidupan yang lebih mudah dan sempurna dengan penghasilan produk-produk inovasi yang memanfaatkan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2024
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.