YB Menteri Garis 4 Kunci Utama Untuk Para Akademia Pacu Kemajuan Ekonomi Negara

YB Menteri Garis 4 Kunci Utama Untuk Para Akademia Pacu Kemajuan Ekonomi Negara

Para akademia diseru untuk menggembleng pengetahuan dan sumber bagi memainkan peranan sebagai pemangkin kepada perubahan positif bagi memastikan generasi akan datang dapat mewarisi ekonomi yang makmur dalam ekosistem alam yang sejahtera.

Justeru, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika berucap menyempurnakan penutup Persidangan Antarabangsa untuk Ekonomi dan Kewangan Islam ke-15 (ICIEF 2024) di sini pagi tadi turut menggariskan empat (4) kunci utama yang boleh menjadi pemacu kepada kemajuan ekonomi negara.

Pertama, para akademia perlu mencari idea inovatif bagi memastikan kemajuan ekonomi yang tercapai mestilah bersifat insani dan mapan sambil mampu mengadunkan kehendak pertumbuhan, produktiviti dan kecekapan.

Kedua, mereka diseru untuk jadikan inovasi sebagai tujahan dalam meneroka sempadan dan teknologi baharu tanpa mengesampingkan sedikit pun kekayaan warisan dan tradisi kita.

Ketiga, kerjasama rentas disiplin melibatkan pertukaran ilmu, sumber dan kemahiran perlu sentiasa dipupuk antara para akademia, industri dan pembuat dasar dengan hasilnya mampu memberi manfaat juga solusi kepada masalah dan keperluan.

Seterusnya, para akademia juga digesa untuk menterjemah kesemua inspirasi dan idea yang ada sehingga menjadi kenyataan atau juga sebagai sebuah dasar baharu yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Persidangan tiga (3) hari bermula Selasa lalu mengangkat tema "Memacu Agenda Ekonomi Insani yang Mapan" merupakan anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Kementerian Kewangan Malaysia; dan Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE).

YB Menteri turut mengalukan cadangan ahli persidangan ICIEF 2024 melibatkan 500 peserta (para akademia, industri dan pembuat dasar) dari dalam dan luar negara bagi mengemukakan sebuah kertas putih yang akan diperhalusi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi berkait sektor ekonomi dan kewangan Islam untuk ditimbang pelaksanaannya oleh YAB Perdana Menteri.

Ucap beliau, "bawalah idea dan cadangan anda untuk bagaimana kita semua mampu bekerja bersama-sama menambahbaik kurikulum dan inisiatif penyelidikan (sektor pendidikan tinggi) dalam mencapai wawasan kita mengecap sebuah masa depan sejahtera". 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1684
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim