English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS LIBAT URUS KPT BERSAMA MEDIA ZON SELATAN 2023

21 OKTOBER 2023


Saudara dan saudari,

  1. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian semua untuk hadir pada malam ini.
  1. KPT adalah sebuah Kementerian yang penting dan strategik untuk negara. Jatuh bangun, maju mundur sesebuah negara, sangat bergantung kepada sejauh mana sektor pendidikan tinggi berjaya dalam melunaskan fungsinya.
  1. Dalam konteks ini, saya melihat KPT dan pengamal media sebenarnya mempunyai tugas dan misi yang sama. Kita berkongsi mandat dan tanggungjawab sepunya.
  1. Walaupun kapasiti, pendekatan dan cara kerja kita berbeza, matlamat kita menjurus kepada hasil yang satu.
  1. Iaitu, kita bersama-sama bertanggungjawab dan memikul tugas untuk mencerdikkan masyarakat!
  1. Saya pasti saudara dan saudari semua sangat sedar tugas dan tanggungjawab ini.
  1. Kesungguhan dan dedikasi pengamal media adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memberi sebanyak mungkin pencerahan kepada masyarakat.
  1. Masyarakat mesti dididik.
  1. Dididik dengan perkara yang benar, betul dan sahih. Paling penting, masyarakat mesti didedahkan dengan perkara-perkara yang berupaya menjadikan mereka lebih matang, berfikiran rasional dan bermaklumat.
  1. Inilah juga fungsi KPT. Dan inilah juga tugas dan tanggungjawab bersama pihak pengamal media.
  1. Pada saya secara peribadi, pengamal media harus menjadi instrumen yang mengajak masyarakat berfikir dan berusaha menjadi orang yang lebih baik.
  1. Bukannya menjadi orang yang emosional, rasis, taasub atau suka mengadu domba.
  1. Kita mesti bersama-sama mengasuh masyarakat di negara kita untuk meninggalkan perkara sedemikian.
  1. Dan untuk berbuat demikian, saya lihat ada beberapa perkara yang mesti kedua-dua KPT dan semua pengamal media lakukan secara bersama.
  1. Pertama, KPT dan pengamal media tidak boleh sama sekali bersifat politikal.
  1. Demi memberi yang terbaik kepada masyarakat, kedua-dua KPT dan pengamal media mesti tidak mempolitikkan tugas dan peranan kita.
  1. Jika kita melihat sesuatu perkara menggunakan lensa politik, pasti banyak perkara baik akan gugur dan terpaksa dikorbankan.
  1. Jika kedua-dua KPT dan pengamal media memilih untuk hanya berasa selesa dan memenuhi selera politik, kita tidak akan berupaya menjadi pihak yang objektif. Kita tidak akan dipacu oleh prestasi.
  1. Bayangkan kalau sektor pendidikan tinggi ditadbir dan dikelola berdasarkan kepentingan politik. Sudah pasti kecemerlangan ilmu dan pembinaan bakat terbaik tidak akan berada pada tahap optimum.
  1. Dan bayangkan kalau semua pengamal media bergerak dan menyusun tanggungjawab penyampaian maklumat dengan berkiblatkan kepentingan politik.
  1. Sudah pasti kebenaran akan Adu domba menjadi budaya. Fakta dan data menjadi tidak bernilai.
  1. Lihat sahaja bagaimana sektor pendidikan tinggi ada kalanya diserang atau disalahtafsirkan. Kebanyakannya adalah bersandarkan kepada perspektif politik atau menggunakan maklumat yang dipolitikkan.
  1. Kedua, saya percaya, kedua-dua KPT dan semua pengamal media mesti sentiasa bekerja sama untuk menyampaikan naratif terbaik yang bertujuan menjadikan masyarakat kita lebih baik.
  1. Kuasa, pengaruh dan ruang yang ada pada semua pengamal media, mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi manfaat masyarakat.
  1. Keuntungan material mesti menjadi pertimbangan terakhir kedua-dua sektor pendidikan tinggi dan para pengamal media.
  1. Bagi saya, perkara paling menakutkan adalah apabila kementerian ini dan semua pengamal media gagal untuk mengajak dan mengasuh masyarakat kita untuk berfikir dan bertindak dengan baik.
  1. Jadi, kita mesti terus bekerjasama dengan strategik, profesional dan saling menyokong satu sama lain.

Saudara dan saudari,

  1. Atas kesedaran betapa pentingnya kerjasama dan hubungan rapat sektor pendidikan tinggi dan para pengamal media, saya ingin mengambil kesempatan pertemuan kita pada malam ini untuk berkongsi beberapa perkara penting.
  1. Khususnya berkaitan dengan pembentangan Belanjawan 2024 baru- baru ini dan perancangan besar KPT untuk tahun hadapan.
  1. Banyak sekali dasar, program serta perancangan yang memerlukan kefahaman yang baik di pihak masyarakat. Dan untuk itu, KPT memerlukan bantuan dan sokongan daripada para pengamal media untuk menyampaikannya kepada masyarakat.
  1. Secara asasnya, dalam Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’, KPT telah diperuntukkan sebanyak 3 bilion secara keseluruhannya.
  1. Jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak 6.8% berbanding Belanjawan 2023.
  1. Jumlah peruntukan yang diberikan ini meletakkan KPT di kedudukan yang ke-5 tertinggi antara semua Kementerian.
  1. Berbekalkan peruntukan dan sokongan ini, 3 tonggak pengajian yang disediakan di bawah KPT, iaitu pengajian akademik di universiti, program TVET di politeknik dan pakej pembelajaran sepanjang hayat di Kolej Komuniti, akan dilonjakkan secara strategik.
  1. Ini akan kita lakukan dengan beberapa cara.
  1. Pertama, penggandaan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang.
  1. Perkara ini dimungkinkan dengan peruntukkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM510 juta kepada KPT dan MOSTI selain dana-dana penyelidikan lain yang khusus di bawah KPT.
  1. Kedua, pelebaran dan pengemasan hubungan sektor pendidikan tinggi dan industri.
  1. Ini akan digerakkan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta geran padanan untuk UA bekerjasama dengan sektor swasta dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan.
  1. Ketiga, merancakkan agenda ‘merakyatkan ilmu’ iaitu proses pemindahan ilmu oleh warga IPT kepada komuniti setempat dengan tujuan meningkatkan kesejahteraan hidup atau membantu menyelesaikan isu masyarakat.
  1. Aspirasi ini akan dijayakan dengan peruntukan RM1 juta kepada setiap UA bagi memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
  1. Keempat, pelebaran ruang dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.
  1. Dalam hal ini, sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di 105 buah Kolej Komuniti yang melibatkan 5,000 komuniti tumpuan.
  1. Kelima, melonjakkan pendidikan TVET di politeknik dan MTUN.
  1. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi perolehan peralatan kepada 4 universiti di bawah MTUN dan RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz TVET.
  1. Malah, sebagai usaha memperkasa pendidikan TVET, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan bagi merancakkan kerjasama industri dengan institusi TVET awam.
  1. Keenam, memelihara kebajikan dan mengukuhkan keselesaan mahasiswa.
  1. Antara inisiatif mesra mahasiswa yang diperkenalkan adalah :
    1. Mengehadkan yuran pendaftaran ke UA tidak melebihi RM1,500 supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN sebanyak RM1,500;
    2. Pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak disekat bagi mendaftar subjek pada semester berikutnya;
    3. Melaksanakan Inisiatif FLYsiswa melalui MOT yang memanfaatkan 60,000 orang pelajar daripada keluarga kurang
    4. Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN turut diteruskan bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.
    5. Peruntukan RM300 juta bagi tujuan menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT.
    6. Dan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi meluaskan capaian Wi-Fi di semua UA.
  1. Ketujuh, melengkapkan ekosistem pendidikan tinggi negara dengan menjawab keperluan serta cabaran semasa.
  1. Perkara ini merujuk kepada kesediaan Kerajaan penubuhan Pusat Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta.
  1. Kelapan, melengkapkan ekosistem pengajian perubahan di semua UA dengan menambah dan menaik taraf Hospital Pengajar Universiti (HPU).
  1. Ini termasuklah peruntukan sebanyak RM938 juta bagi membina Kompleks Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kota Tinggi.
  1. Dengan pembinaan HPU ini, maka lengkapkan ekosistem pengajian perubatan di negara kita kerana kesemua fakulti perubatan UA akan sudah mempunyai HPU sendiri.
  1. Lebih penting, pembinaan hospital pengajar ini akan memberi ruang untuk pelajar fakulti perubatan, khususnya dari USIM, untuk mendapat latihan yang lebih baik, sistematik dan mempunyai lebih banyak peluang melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

  1. Selain daripada pelaksanaan inisiatif yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024, KPT akan turut memfokuskan kepada beberapa perkara kritikal.
  1. Pertama, pendigitalan sektor pendidikan tinggi. Ini termasuklah pengenalan POLI Digital dalam menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran lebih fleksibel kepada pelajar di kesemua 36 politeknik.
  1. Kedua, mempelbagai strategik menambahkan pencapaian kebolehpasaran graduan dengan menumpukan kepada usaha memastikan lebih ramai graduan mendapat gaji premium iaitu RM4,000 ke atas.
  1. Ketiga, melaksanakan syor dan saranan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) agar sektor pendidikan tinggi negara lebih cemerlang, seiring dengan perkembangan zaman dan berupaya memposisikan Malaysia sebagai hab bakat dan ilmu bertaraf global.
  1. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua rakan media yang hadir pada malam ini untuk beramai-ramai hadir ke KPT pada hari Isnin, 23 Oktober nanti.
  1. Ini kerana, pada hari tersebut, KPT akan mengadakan Hari Terbuka bagi mengumpul pandangan serta saranan orang awam berkaitan pelbagai cadangan perubahan dasar yang hendak dilakukan.
  1. Dasar-dasar ini akan menyentuh pelbagai pemegang taruh seperti tenaga pengajar, mahasiswa, pelajar antarabangsa, pembuat dasar, pentadbir universiti dan pelbagai lagi.
  1. Jadi, adalah kritikal untuk orang awam hadir dan mengambil peluang ini untuk terlibat sama dalam proses penambahbaikan sektor pendidikan tinggi Malaysia.
  1. Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih atas kehadiran semua pada malam ini.
  1. Terima kasih kerana menyokong dan membantu menjayakan agenda dan aspirasi pendidikan tinggi negara sama ada melalui platform penyiaran arus perdana mahupun media sosial.
  1. Saya harap kita semua akan dapat terus bekerjasama dengan baik selepas ini.

Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Libat Urus KPT Bersama Media Zon Selatan 2023.pdf (164 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5414
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 26 April 2024, 22:08:18.