English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP HARI TERBUKA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

23 OKTOBER 2023


YAB Dato Seri, hadirin dan hadirat,

  1. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t. atas rahmat dan kesempatan yang diberikan untuk kita berkumpul dan menjayakan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara 2023 hari ini.
  1. Bagi pihak seluruh warga Kementerian Pendidikan Tinggi, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesudian Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof, yang mewakili YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kesudian memenuhi jemputan kami.
  1. Hari ini KPT amat berbesar hati untuk berkongsi dengan semua, usaha yang telah pihak kementerian lakukan sepanjang tahun ini bagi menambah baik dasar dan pendekatan pendidikan tinggi negara kita.
  1. Untuk maklumat YAB Dato Seri dan semua tetamu yang hadir, Kementerian Pendidikan Tinggi sedar akan tanggungjawab besar yang digalas selaku pemegang taruh utama proses pembentukan bakat terbaik negara.
  1. Selain itu, KPT bertanggungjawab memastikan kerancakan penyelidikan dan inovasi dalam perkara-perkara kritikal dengan turut menggembleng kerjasama serta perkembangan IPT awan dan swasta secara seiring.
  1. Pada masa yang sama, sektor pendidikan tinggi negara turut diharap melakukan sebanyak mungkin pemindahan ilmu ke dalam masyarakat dan industri.
  1. Berbekalkan kesedaran terhadap tanggungjawab dan mandat yang besar ini, saya usulkan kepada pihak Kementerian pada awal tahun ini agar dilakukan satu semakan besar-besaran terhadap dasar yang sedia ada.
  1. Ini kerana, jika diamati senario semasa, terdapat beberapa desakan penting yang tidak boleh diketepikan sama sekali.
  1. Antaranya, perkembangan teknologi yang bukan sahaja pesat dan pelbagai, tetapi sangat bersifat disruptif.
  1. Pada masa yang sama, wujud gelombang demi gelombang megatrends di peringkat global yang merumitkan lagi cabaran kehidupan baharu masyarakat tempatan.
  1. Apatah lagi, sejak tahun 2020, kita telah melihat penurunan minat terhadap pendidikan tinggi di kalangan rakyat anak muda.
  1. Demikian juga dengan pencapaian kebolehpasaran graduan kita. Biar pun peratusannya tinggi, ia masih belum membanggakan apabila diukur menggunakan rujukan keupayaan mendapat gaji premium RM4 ribu dan ke atas.
  1. Kesemua ini membentuk satu persekitaran yang bersifat hyper competitive. Dan perkara ini menuntut agar kita segera menyemak dan menilai semula dasar dan pendekatan pendidikan tinggi negara.
  1. Kementerian percaya, kegagalan untuk berubah dan menyusun semula strategi pendidikan tinggi akan menjadikan kita ketinggalan dan tidak bergerak seiring dengan keperluan serta cabaran sezaman. Semua ini sudah tentu membawa natijah besar yang merugikan negara.
  1. Bertitik tolak daripada persetujuan kementerian untuk melakukan semakan tersebut, maka satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan.
  1. Mereka terdiri daripada Dato Sri Idris Jala sebagai pengerusi. Beliau dibantu oleh Timbalan Pengerusi, Prof Datin Paduka Dr Khatijah binti Mohamad Yusoff dari Malaysia Genome and Vaccine Institute, National Institutes of Biotechnology Malaysia.
  1. Kedua-dua tokoh ini disertai oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan tinggi iaitu:
  1. Profesor Emiritus Dato’ Dr. Morshidi Sirat, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Universiti Sains Malaysia (USM)
  2. Dr. Abdul Razak Ahmad, Pengarah dan Pengasas Bait Al Amanah
  3. Dr. Wan   Chang Da, CEO, The HEAD Foundation, Singapura
  4. Dr. Jamil Salmi, Pakar Pendidikan Tinggi dan mantan penyelaras, Program Pendidikan Tinggi Bank Dunia
  5. Puan Nurlin Salleh, Managing Director & Partner, Boston Consulting Group, Malaysia
  6. Datuk Parmjit Singh, CEO, Asia Pacific University of Technology and Innovation, dan
  7. Dan Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi
  1. Pasukan NRC ini digerakkan oleh 16 ahli Speacial Task Force (STF) yang dianggotai pegawai di Kementerian Pendidikan Tinggi serta ahli
  1. Mereka telah turut dibantu oleh sekumpulan perunding yang diketuai oleh PEMANDU Associates, yang telah sudi memberikan khidmat secara percuma atau pro-bono.

YAB Dato Seri,

  1. Proses semakan ini secara umumnya meliputi penelitian ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategik serta garis panduan yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
  1. Semakan turut dilakukan ke atas proses kerja semasa jabatan dan agensi-agensi KPT.
  1. Sepanjang 3 bulan pasukan ini bertungkus lumus, seramai 200 peserta yang mewakili 115 organisasi telah dilibatkan dan sebanyak 874 isu telah dikenal pasti di peringkat awal.
  1. Setelah diteliti dan diperhalusi, sebanyak 58 cadangan penambahbaikan utama telah dibentangkan kepada pihak Kementerian. Namun, kesemua saranan ini masih belum dimuktamadkan.
  1. Maka, Hari Terbuka ini dianjurkan sebagai satu proses kritikal untuk memastikan yang segala saranan tersebut, bukan sahaja bersifat praktikal dan bermakna kepada pendidikan tinggi negara. Namun, benar-benar menjawab keperluan masyarakat dan negara.

YAB Dato Seri serta hadirin yang saya muliakan,

  1. Kesemua 58 cadangan penambahbaikan yang telah disaring ketat ini boleh dikelompokkan secara kasar kepada 7 isu utama yang dihadapi oleh sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Pertama, peraturan ketat yang mengekang perkembangan dan pertumbuhan sektor pendidikan tinggi.
  1. Kedua, proses atau birokrasi yang menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan.
  1. Ketiga, penyelarasan yang tidak memenuhi keperluan industri dan reka bentuk akademik.
  1. Keempat, hala tuju yang tidak jelas akibat kekurangan dasar dan peraturan yang baik.
  1. Kelima, sumber yang terhad.
  1. Keenam, mekanisme pembiayaan yang tidak memberi insentif kepada prestasi tinggi.
  1. Dan ketujuh, penguatkuasaan dan pelaksanaan yang lemah.
  1. Antara perubahan atau impak utama yang kita sasarkan daripada pelaksanaan segala saranan ini antaranya adalah:
  1. peningkatan kecemerlangan pendidikan tinggi negara,
  2. kelestarian sumber dan pengurusan kewangan IPT yang akan berpaksikan prestasi,
  3. pemerkasaan mahasiswa,
  4. pengukuhan pengajian TVET, dan
  5. penambahbaikan kedudukan Malaysia sebagai hab ilmu dan bakat bertaraf antarabangsa.
  6. Saya percaya YAB Dato Seri telah mendapat gambaran kasar berkenaan saranan-saranan utama ini berdasarkan penerangan yang diberikan sebentar tadi.
  1. Walaubagaimanapun, saya juga suka untuk maklumkan yang ketika ini, sementara kita mengumpul saranan dan maklum balas daripada orang awam berkenaan 58 saranan utama ini, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi telah turut memulakan beberapa tindakan awal.
  1. Antaranya:
  1. Pertama, penubuhan bahagian Unit Pengurusan dan Penyampaian Pendidikan Tinggi atau HEAD.
  1. HEAD akan bertindak sebagai unit pemantauan peringkat kementerian yang bertanggungjawab memastikan segala dasar, mandat dan perubahan yang hendak dilakukan oleh pihak kementerian akan dijayakan dengan sebaiknya.
  1. Kedua, KPT telah mula meringkaskan pelbagai proses kelulusan dan tadbir urus universiti dan institusi di bawah KPT agar dapat bergerak dan bertindak dengan lebih pantas dan cekap.
  1. Misalnya, dalam membaik pulih struktur kurikulum, proses kelulusan MQA telah dipendekkan daripada 9 minggu kepada hanya 3 minggu.
  1. Dan ketiga, berdasarkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan baru- baru ini, KPT akan memulakan pendigitalan pendidikan tinggi selari dengan perubahan dan tuntutan semasa.

YAB Dato Seri dan hadirin sekalian,

  1. Pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober yang lalu memperuntukkan sebanyak RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak 6.8% berbanding tahun ini.
  1. Tidak ada cara lain untuk kita mentafsirkan peruntukan besar tersebut melainkan ia adalah satu penzahiran paling jelas akan sokongan yang berterusan Kerajaan kepada sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Bagi pihak kementerian, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas peruntukan yang diberikan.
  1. Insya-Allah, kementerian ini akan memanfaatkan serta mengoptimumkan impaknya dalam memastikan sektor pendidikan tinggi negara kita terus cemerlang.
  1. Dan saya harap, segala pelan dan usaha kami dalam melakukan perubahan serta memberi lonjakan kepada sektor pendidikan tinggi negara akan terus mendapat sokongan dan perhatian yang selayaknya dari semua pihak.
  1. Sebelum berakhir, saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan NRC dan semua pihak yang telah menjayakan proses semakan dasar pendidikan tinggi negara ini. Semoga sumbangan dan kerja keras semua pihak menjadi amalan yang diberkati oleh Allah
  1. Akhir sekali, terima kasih sekali lagi YAB Dato Seri Timbalan Perdana Menteri serta semua tetamu atas kesudian menghadiri dan menjayakan Hari Terbuka ini.

Sekian. Wassalaamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan Menteri KPT Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara.pdf (223 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 6673
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 26 April 2024, 22:08:18.