Kolej Komuniti Wadah KPT Bantu Masyarakat Tingkat Taraf Hidup

Kolej Komuniti Wadah KPT Bantu Masyarakat Tingkat Taraf Hidup
English translation not available for this content.

Kolej Komuniti memainkan peranan istimewa dalam konteks mengupayakan masyarakat setempat dan fungsinya itu ternyata berbeza jika dibandingkan dengan politeknik atau pun universiti, biarpun semuanya di bawah tadbir Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Melalui Kolej Komuniti, KPT dapat mendekati ahli masyarakat yang memerlukan kemahiran baharu atau ilmu tambahan menerusi insiatif Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang menawarkan pelbagai kursus pendek dalam ikhtiar mereka untuk menambah pendapatan atau merubah kedudukan sosiekonomi mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin mengatakan yang demikian ketika menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) bagi Negeri Sembilan yang baharu di sini petang tadi.

Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa tersebut akan berupaya membawa input dan saranan penting kepada KPT dalam memperhebatkan lagi institusi tersebut sebagai sehingga mampu menjadi salah satu instrumen terbaik menjayakan agenda negara.

Dalam ucapannya, beliau turut menggariskan tiga fungsi kepada penubuhan Kolej Komuniti iaitu sebagai medan pengajian sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat; sebagai pusat memberi peluang kedua; serta sebagai pelonjak atau agen pemangkin kesejahteraan dan taraf hidup ahli masyarakat.

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyerahkan watikah pelantikan kepada lima (5) orang Pengerusi JPENKK Negeri Sembilan merangkumi KK Jelebu, KK Jempol, KK Tampin, KK Rembau dan KK Kuala Pilah yang berkuatkuasa selama dua (2) tahun mulai 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2025.

Beliau turut berharap agar para pengerusi baharu yang dilantik ini akan mengambil inisiatif untuk mengesan dan mendekati seramai mungkin masyarakat setempat yang memerlukan lonjakan dalam hidup, di samping dapat meyakinkan mereka untuk menyertai Kolej Komuniti demi mengubah dan menambah baik kehidupan.

  • Last updated on .
  • Hits: 1904
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.