KPT Eratkan Kerjasama Bersama Pihak Swasta Meluncurkan Agenda Keusahawanan Siswa Dan Kebolehpasaran Graduan

KPT Eratkan Kerjasama Bersama Pihak Swasta Meluncurkan Agenda Keusahawanan Siswa Dan Kebolehpasaran Graduan
English translation not available for this content.

Dalam usaha melahirkan graduan yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang selari dengan Lonjakan 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama XOX Berhad dan VMR Three Sdn. Bhd. bagi program keusahawanan MySiswa serta bersama Wawasan Jaya Elite Sdn. Bhd. dalam bidang kebolehpasaran graduan.

MoU ini telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), mewakili KPT dengan wakil-wakil syarikat serta disaksikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi di Putrajaya, hari ini.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany berkata pemeteraian MoU pada hari ini merupakan manifestasi komitmen serta sokongan KPT dalam menjayakan pelaksanaan dua inisiatif melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), merangkumi universiti awam; universiti dan kolej universiti swasta; serta politeknik dan kolej komuniti.

Program Keusahawanan MySiswa yang akan dilaksanakan dengan kerjasama XOX Berhad dan VMR Three Sdn. Bhd. ini bakal menawarkan manfaat keperluan mahasiswa serta meningkatkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan berkaitan telekomunikasi dan digital.

Kerjasama dengan Wawasan Jaya Elite Sdn. Bhd. pula akan menerokai program berkaitan dengan pemadanan kerja graduan yang bersesuaian dengan kelayakan, penyediaan syarikat untuk latihan industri dengan elaun yang bersesuaian serta menggalakkan jaminan pekerjaan kepada graduan yang sedang menjalani latihan industri.

KPT yakin kerjasama ini mampu membuka ruang untuk menjayakan inisiatif yang selari dengan hala tuju strategik KPT serta menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih kukuh antara ke semua pihak pada masa hadapan.

  • Last updated on .
  • Hits: 2275
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 11:06:20.