UUM Diseru Perkasa Usaha Mempersada Pendidikan Pengurusan

UUM Diseru Perkasa Usaha Mempersada Pendidikan Pengurusan
English translation not available for this content.

Universiti Utara Malaysia (UUM) disaran untuk mempelbagaikan usaha bagi mempersada reputasi mereka di peringkat tempatan dan serantau sebagai satu-satunya universiti awam yang bertujahkan pendidikan pengurusan di negara ini.

Antaranya dengan memperbanyakkan kolaborasi bersama pihak luar dan industri serta menggiatkan program pemindahan ilmu kepada masyarakat yang mampu meningkatkan status keupayaan dan sosioekonomi rakyat selaras tuntutan kerangka Ekonomi Madani.

Demikian pesanan yang dititipkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin kepada para pengurusan kanan UUM dalam lawatan kerja rasminya ke sini pagi tadi.

Selepas mendengar taklimat pencapaian dan hala tuju UUM daripada Naib Canselornya, YBrs. Prof. Dr. Fo'ad Sakdan, beliau menyambut baik cadangan UUM untuk mengangkat Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan UUM (IMBRE) menjadi Pusat Kajian Kes Nasional.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar UUM dapat memperkenalkan program pendidikan berkaitan pembangunan dan piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola) bagi membantu pihak industri tempatan menghasilkan produk yang menepati pengiktirafan pasaran global.

Malah, UUM turut diminta untuk membangunkan sebuah kursus pengurusan yang boleh dijadikan silibus kepada Kolej Komuniti dalam melahirkan generasi usahawan yang mahir dengan selok-belok pentadbiran organisasi.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan program serahan SULUNG 2.0 UUM khusus kepada para pelajar dari golongan B40 sebelum berkesempatan melawat reruai pameran produk UUM.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.

  • Last updated on .
  • Hits: 1895
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 18:21:44.