Malaysia-UK Bincang Semarakkan Kerjasama Pendidikan Tinggi

Malaysia-UK Bincang Semarakkan Kerjasama Pendidikan Tinggi
English translation not available for this content.

Semenjak terwujudnya jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan United Kingdom (UK), lebih 80,000 graduan negara ini berkelulusan dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara tersebut sekaligus meletakkan Malaysia di kedudukan kedua pasaran pendidikan transnasional (TNE) mereka.

Walhasil, kerjasama juga persahabatan erat kedua-dua negara tersebut telah memberi manfaat yang tidak terhingga kepada para pelajar, penyelidik serta institusi dengan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bakat dan ekonomi masing-masing.

Bercakap kepada para peserta dari kedua-dua negara di program Meja Bulat dan Pameran Pendidikan Tinggi UK-Malaysia di sini pagi tadi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyarankan agar jalinan kerjasama erat yang sedia ada ini perlu disemarak sambil meneroka peluang baharu supaya ia kekal relevan dan menguntungkan kesemua pemegang taruh dalam mendepani dunia yang pantas bergerak ini.

Menyorot pengumuman lima (5) fokus YB Menteri pada Januari lalu, kerajaan British melalui Konsortium Universiti UK-Malaysia turut memaklumkan persamaan yang telah digariskan tersebut dengan Strategi Pengantarabangsaan Pendidikan mereka.

Justeru, YB Timbalan Menteri menyeru agar semua para peserta untuk dapat berdiskusi secara terbuka dan produktif, berkongsi kepakaran dan komitmen masing-masing dalam memeta landasan baharu.

Antaranya melibatkan pertukaran perspektif dan menyemak status perjanjian sedia ada; sumbang saran idea-idea inovatif untuk kolaborasi masa hadapan; serta membangunkan cadangan-cadangan konkrit yang mampu memacu impak sektor pendidikan tinggi.

"Dengan menyemarakkan persahabatan dan mengatur ambisi, kita mampu mencipta masa hadapan di mana IPT masing-masing akan kekal cemerlang, sembari membentuk kejayaan para pelajar dan menyumbang kepada kemakmuran London-Kuala Lumpur", ujar beliau.

  • Last updated on .
  • Hits: 447
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 April 2024, 23:06:49.