MQA Diseru Bersama IPT Tempatan Jadikan Malaysia Antara Hab Pendidikan Tinggi Terbaik Global

MQA Diseru Bersama IPT Tempatan Jadikan Malaysia Antara Hab Pendidikan Tinggi Terbaik Global
English translation not available for this content.

Malaysia sentiasa menjadi rujukan terbaik kepada negara-negara luar seperti pertubuhan OIC, Selatan-Selatan dalam aspek pembangunan negara masing-masing terutamanya melibatkan sektor pendidikan tinggi.

Justeru, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) disaran untuk memusatkan usaha bersama dengan Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan yang mampu menarik para pelajar asing ke Malaysia sekali gus menjadi antara hab pendidikan tinggi terbaik global.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata demikian kepada seluruh warga MQA ketika membuat lawatan rasmi ke sini pagi tadi.

Kehadiran beliau telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MQA, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran bersama barisan pengurusan tertinggi MQA yang lain.

YB Menteri telah diberi taklimat dan penerangan berkenaan fungsi, operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi tersebut dalam menjaga akreditasi dan piawaian sektor pendidikan tinggi negara.

Dalam pembentangan tersebut, CEO MQA telah menggariskan cabaran serta pelan transformasi agensi tersebut bagi memastikan pematuhan Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta terhadap Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (AKTA 679).

Seterusnya, beliau turut menitipkan amanat agar warga MQA tekal menjalankan tugasan bagi memastikan tanda aras pendidikan tinggi Malaysia berada pada tahap terbaik.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjalankan fungsi Ketua Setiausaha, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 873
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 09 May 2024, 10:23:06.