UKM, UM, UiTM Juara Debat Diraja Antara IPT 2023

UKM, UM, UiTM Juara Debat Diraja Antara IPT 2023
English translation not available for this content.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin telah berkenan bercemar duli menyempurnakan pertandingan Debat Diraja antara IPT 2023 (DDIPT'23) di Universiti Teknologi MARA Shah Alam pagi tadi.

Keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri yang juga Pro-Canselor UiTM tersebut telah disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari.

Penganjuran edisi ke-24 DDIPT ini melibatkan penyertaan sebanyak 85 buah pasukan yang mewakili 28 buah institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bertanding dalam lima (5) kategori iaitu, Bahasa Melayu Utama, Bahasa Melayu Muda, Bahasa Inggeris Utama, Bahasa Ingggeris Muda dan Bahasa Arab.

Bagi kategori utama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dinobat sebagai Johan Bahasa Melayu; manakala tuan rumah, UiTM telah diumum sebagai Johan Bahasa Inggeris.

Untuk kategori muda, UKM turut merangkul Johan Bahasa Melayu, dengan Universiti Malaya (UM) memenangi Johan Bahasa Inggeris.

Selain itu, UM turut diumum sebagai Johan kategori Bahasa Arab.

DDIPT kali ini telah diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa dan selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan aspek pemerkasaan mahasiswa.

DDIPT'23 telah dijayakan dengan kerjasama UiTM, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Kewangan Malaysia. 

  • Last updated on .
  • Hits: 800
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 08 May 2024, 14:57:46.