KPT Tekal Tangani Isu Pekerjaan Di Bawah Kelayakan

KPT Tekal Tangani Isu Pekerjaan Di Bawah Kelayakan
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tekal menangani isu pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment) dengan melaksanakan strategi yang telah dirangka melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi serta industri.

Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang hadir bagi menjawab soalan lisan ahli Parlimen Kangar di Dewan Rakyat pagi tadi.

Strategi tersebut merangkumi usaha mempergiat kolaborasi bersama industri melalui platform-platform seperti Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis TVET Negara (MTVET) yang bertujuan membincangkan isu-isu ketidaksepadanan penawaran dan permintaan tenaga buruh serta menyediakan ruang dan peluang bagi membincangkan isu-isu kebolehpasaran graduan termasuk “underemployment”.

Menurut beliau juga, KPT turut berkolaborasi dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) melalui program seperti Portal MyFutureJobs bagi padanan pekerjaan; serta menyertai Program Karnival Kerjaya dan ‘Job Fair’.

Selain PERKESO, KPT turut memeterai persefahaman dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada tahun 2023 berhubung kerjasama untuk menjayakan Program Graduan Pasaran Modal yang menyediakan pakej latihan lengkap dan bernilai tinggi yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri pasaran modal dan sekuriti negara.

Tambah beliau, KPT turut mengambil inisiatif membangunkan portal 'Graduates Reference Hub for Employment and Training' atau ringkasnya GREaT yang menyediakan perkhidmatan pencarian dan padanan pekerjaan; permohonan latihan industri, permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian; perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya dan e-profiling. 

  • Last updated on .
  • Hits: 369
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 April 2024, 23:06:49.